PETALING JAYA – Tanda tanya orang ramai akhirnya terjawab apabila status terkini Ardell Aryana, Zainal Rashid Ahmad (ZRA Strim), Ustaz Mad Kechik, Razali Awang, PU Rahmat Ikhsan dan tiga lagi delegasi Malaysia disahkan selamat selepas keberadaan mereka tidak dapat dipastikan sejak tengah hari tadi.
Sebelum ini, beberapa pihak melahirkan kebimbangan apabila tiada sebarang perkembangan terkini mengenai lapan individu tersebut yang dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Bagaimanapun, video hantaran mesej kecemasan memaparkan lapan sukarelawan negara itu dimuat naik di akaun Sumud Nusantara Official malam ini menandakan kesemua mereka telah ditahan oleh Israel.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan tentera Israel, setakat pukup 4.25 petang tadi waktu Malaysia.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, perkara itu terjadi selepas 20 jam dari tempoh berlaku lintasan intimidasi pertama.
“Semua 23 peserta Malaysia diisytiharkan ditahan mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP) bahawa kita terputus hubungan dengan mereka dan ada visual mereka telah pun ditahan oleh pihak Pasukan Pertahanan Israel (IDF), ” katanya pada sidang akhbar malam tadi.
Tinjauan Kosmo! di media sosial, orang ramai meluahkan rasa syukur dengan kepastian yang diterima, malah ada yang menyifatkan ia sebagai satu kelegaan besar selepas seharian menunggu dengan penuh debaran.
“Yang ditunggu-tunggu khabarnya dari pagi tadi, akhirnya ada video SOS Ardell. Lindungilah mereka semua Ya Allah,” kata Ainaaazhan.
“Alhamdulillah, lega dengar khabar baik ini. Ramai yang risau sejak tengah hari tadi, akhirnya dapat jawapan,” kata Shahira.
“Walaupun mereka ditahan, kami sangat lega dengan pengesahan berikut. Macam-macam cerita dengar dari siang tadi, alhamdulillah terjawab semuanya,” kata NurLily. – KOSMO! ONLINE