PASUKAN ragbi Terengganu bertekad menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Agong di Padang UPNM, Kem Sungai Besi esok.
Ia bagi memastikan kedudukan Terengganu di tangga kedua Kumpulan B sekali gus mencerahkan laluan ke suku akhir.
Pengurus pasukan, Mohd. Haqiuddin Adli Rabu berkata, anak-anak buahnya tetap bersemangat tinggi selepas kekalahan kepada Johor minggu lalu walaupun ATM masih belum tewas dalam kejohanan itu.
“Kami kalah dengan Johor minggu lepas, jadi sasaran kami sekarang nak menang lawan ATM Sabtu ini (esok). Kalau kami menang, kedudukan nombor dua masih kekal.
“Saya percaya perlawanan minggu ini tidak mudah, lagi-lagi bersaing dengan ATM yang menaruhkan import kelas A. Terengganu akan beri terbaik menerusi barisan pemain muda,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Terengganu musim ini tampil dengan wajah baharu apabila menurunkan barisan muda berusia 21 hingga 23 tahun, selain mengekalkan tiga pemain senior.
Menurut Haqiuddin, langkah itu adalah sebahagian strategi jangka panjang untuk membina pasukan mantap dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Bagaimanapun, persiapan mereka sedikit terjejas selepas kehilangan dua pemain utama posisi serangan kerana kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan patah tangan.
“Kami kehilangan dua orang, tapi kita ada pelan B terutama melakukan pertukaran pemain lain yang ada untuk isi kekosongan itu,” katanya.
Jika Terengganu mengekalkan tangga kedua, mereka dijangka menentang Perlis, namun seandainya jatuh ke tempat ketiga, Kelantan berkemungkinan besar menjadi lawan mereka. – KOSMO! ONLINE