fbpx

NexG dianugerah kontrak pembekalan MyKad generasi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – NexG Berhad (NexG) melalui anak syarikat milik penuhnya,  Datasonic
Technologies Sdn Bhd (DTSB), telah menerima dan bersetuju menerima kontrak
selama enam tahun daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pembekalan penyelesaian Kad Pengenalan Nasional Malaysia termasuk MyKad, MyTentera dan MyPOCA.

Kontrak tersebut, yang akan bermula pada 1 Jun 2026, mempunyai nilai keseluruhan kira-kira RM733 juta.

Penganugerahan ini adalah susulan daripada kontrak pembekalan Pasport Antarabangsa Malaysia bernilai RM1.73 bilion yang diperoleh pada 29 Ogos 2025.

NexG, melalui anak syarikatnya, telah menjadi pembekal penyelesaian MyKad sejak
tahun 1999, dan kontrak baharu ini mencerminkan kepercayaan berterusan Kerajaan
terhadap Kumpulan untuk melindungi dan memodenkan infrastruktur identiti negara.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, penganugerahan kontrak MyKad ini bukan sekadar satu lagi projek untuk NexG tetapi ia adalah satu pencapaian penting bagi negara.

Menurut beliau, ia mencerminkan visi dan komitmen kerajaan untuk menyediakan rakyat  dengan kad pengenalan generasi akan datang yang melangkaui fungsi pengenalan diri semata-mata.

Jelasnya, MyKad generasi baharu ini akan menjadi alat yang selamat dan berkuasa untuk rakyat, memastikan bantuan kewangan, subsidi dan perkhidmatan penting disampaikan secara adil, telus dan tanpa ketirisan.

“Dengan melabur dalam MyKad generasi baharu ini, Kerajaan bukan sahaja dapat memperkukuh keselamatan negara, malah pada masa yang sama memperkasa setiap
rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah kontrak ini, Kerajaan akan memperkenalkan MyKad dinaik taraf generasi
akan datang, yang merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh
sekuriti identiti dan mempercepat transformasi digital Malaysia.

MyKad yang dinaik taraf itu bukan sekadar kad pengenalan, tetapi kunci digital nasional yang selamat dan asas kepada jejak digital Malaysia kerana ia memiliki ketahanan yang dipertingkat dan ciri-ciri keselamatan berbilang lapisan.

Ia juga direka untuk menentang pemalsuan, melindungi daripada pengubahan atau pengusikan, dan memastikan kebolehpercayaan jangka panjang, sambil membolehkan rakyat menyertai ekonomi digital dengan selamat.

Tambah beliau, infrastruktur ini dijangka memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai cara yang bermakna, termasuk mengaksess kepada subsidi berperingkat dan bersasar merentasi bahan api, makanan, pengangkutan, pendidikan dan kebajikan selain dapat menjadi penyampai bantuan kewangan dan manfaat kebajikan yang selamat dan telus serta dapat mengurangkan risiko penipuan atau ketirisan.

Ia juga memiliki keupayaan untuk melaksanakan transaksi digital dan pengesahan biometrik merentasi bank, syarikat telekomunikasi, syarikat insurans dan syarikat teknologi kewangan (fintech) serta memberi akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan kerajaan secara digital, seperti pembaharuan, permit dan permohonan.

MyKad tersebut juga dapat melancarkan lagi penyelesaian penjagaan kesihatan, pengangkutan dan bandar pintar yang mana satu ID membolehkan akses kepada pelbagai perkhidmatan penting.

“MyKad dinaik taraf generasi akan datang ini akan melengkapkan inisiatif ini dengan
menyediakan rakyat Malaysia asas fizikal dan digital yang selamat, sejajar dengan
wawasan Kerajaan yang lebih luas untuk sebuah ekosistem digital yang selamat, inklusif
dan sedia masa hadapan,” ujarnya.

Abu Hanifah menerangkan, secara keseluruhannya, kontrak pasport dan MyKad secara berturutan bernilai RM2.4 bilion itu akan memberikan NexG asas yang kukuh dan kalis kemelesetan daripada hasil berulang, sekali gus memastikan ketahanan melalui kitaran ekonomi serta keterlihatan pendapatan yang stabil untuk tahun-tahun mendatang.

“Asas yang kukuh ini membolehkan NexG melabur dengan yakin dalam inovasi, mengembangkan portfolio penyelesaian identiti selamat dan kepercayaan digital, serta mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan,” terangnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI