fbpx
Empat tertuduh dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, hari ini. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/KOSMO!

Empat ahli Geng TR didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR sejak enam tahun lalu.

Kesemua tertuduh iaitu S. Sugumaran, 45; S. Rajah, 27; M. Deva Kumaran, 44, dan M. Mugilan, 35 mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli Geng TR di sebuah restoran makanan laut di Sungai Janggut, Jeram di sini, antara November 2019 hingga 11 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Lina Hanini Ismail mengemukakan izin pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Datuk G. Sivakumar dan Haziq Muhamad Shahal mewakili Sugumaran manakala tiga tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang dan tarikh sebutan akan dimaklumkan kelak.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI