BARCELONA – Pengendali Barcelona, Hansi Flick mengakui pasukannya masih belum sempurna seperti Paris Saint-Germain (PSG) selepas tewas 1-2 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Lluis Companys Olympic awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Catalans selaku tuan rumah berjaya mendahului hasil jaringan awal Ferran Torres sebelum pelawat bangkit mencuri tiga mata berharga menerusi penyudah Senny Mayulu dan Goncalo Ramos.
Menurut Flick, keunggulan PSG selaku juara Eropah sukar untuk dibendung selepas berjaya mendominasi perlawanan sekali gus memastikan pasukannya tewas buat kali pertama dalam musim ini.
“Kami masih belum layak untuk dilabel berada pada tahap sama dengan PSG. Atas padang, jelas mereka berada dalam kelas tersendiri tetapi saya percaya kami mampu beraksi seperti mereka pada masa akan datang.
“Cuma, buat masa ini mereka begitu konsisten selama 90 minit untuk bertahan dan menyerang selain memanfaatkan semua peluang terhidang.
“Apa yang mereka lakukan sejak beberapa tahun lalu wajar dicontohi kerana mereka juga berani turunkan pemain muda.
“Namun, saya percaya dengan kualiti yang kita ada kerana nasib juga tidak memihak kepada pasukan selepas tewas pada minit-minit akhir perlawanan,” katanya. – AGENSI