JOHOR BAHRU – Tiga wanita Laos dan seorang wanita Filipina ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan pas imigresen dengan melakukan kegiatan tidak bermoral iaitu menyediakan perkhidmatan seks di bandar raya ini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, wanita berkenaan dipercayai menawarkan khidmat seks melalui aplikasi Telegram dengan bayaran RM230.
Katanya, perkhidmatan tersebut dibongkar pihaknya menerusi Ops Gegar yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggotanya terhadap sebuah hotel bajet di Kebun Teh, di sini pada pukul 4 petang.
“Operasi tersebut dijalankan atas maklumat awam serta risikan dijalankan penguatkuasa, maklumat awal diterima keempat-empat wanita terbabit dipercayai bekerja sebagai penjaga premis berkenaan.
“Siasatan lanjut dibuat mendapati keempat-empat wanita berusia antara 20 hingga 39 tahun itu dipercayai turut menjalankan aktiviti tidak bermoral,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE