PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 29 warga asing dan empat warga tempatan menerusi Ops Gegar yang dijalankan di tiga lokasi berasingan sekitar Klang dan Puchong, semalam.
JIM dalam kenyataan berkata, operasi bermula pukul 3.20 petang itu dilakukan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Putrajaya.
“Dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Klang, seramai 13 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan kerana disyaki menawarkan khidmat seks. Mereka terdiri daripada lima warga Thailand, enam warga Indonesia dan dua warga Vietnam.
“Selain itu, dua wanita Indonesia ditahan kerana berkerja sebagai pekerja pembersihan hotel tersebut tanpa pas yang sah. Turut ditahan, dua lelaki tempatan dipercayai penjaga kepada wanita berkenaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut mempromosikan perkhidmatan melalui laman sesawang dengan tempahan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram sebelum pelanggan diarahkan ke bilik di tingkat satu hotel tersebut.
“Bayaran bagi perkhidmatan seks adalah sekitar RM190 hingga RM960 dan bergantung kepada warganegara wanita yang dilanggan.
“Dua lelaki tempatan yang disyaki sebagai penjaga kepada wanita warga asing tersebut turut ditahan,” ujarnya.
JIM memaklumkan, dalam serbuan susulan pada pukul 5.30 petang di dua premis refleksologi sekitar Puchong, seramai 25 individu diperiksa dan 16 wanita warga asing berusia 20 hingga 37 tahun ditahan.
“Warga asing ditahan terdiri daripada sembilan wanita warga Thailand, empat wanita warga Myanmar, dua wanita warga Laos dan satu wanita warga China. Dua lelaki tempatan turut diberkas kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah,” jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – KOSMO! ONLINE