SEPANG – Kapal yang dinaiki Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim dan Ustaz Mad Kechik masih belum ditahan oleh tentera Israel setakat ini.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipaparkan di Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), ZRA dan Ustaz Mad Kechik yang menaiki kapal Fair Lady masih bergerak menuju ke pantai Gaza.
Namun, kapal itu kini bergerak pada kelajuan 2 knot dan masih berada pada zon merah 3 sekitar pukul 6.16 pagi waktu tempatan.
Visual pada CCTV turut memaparkan peserta di atas kapal itu dilihat sedang tidur, berehat dan meninjau pergerakan semasa misi itu.
Sementara itu, dua lagi kapal dinaiki rakyat Malaysia iaitu Inana dan Free Willy juga belum ditahan oleh tentera Israel dimana mereka kini berada di zon merah 2.
Kapal Free Willy dinaiki Muhammaad Hareez Adzromi, Dr. Taufiq Mohd Razif dan Muhd Haikal Luqman Zulkefli, manakala Inana pula dinaiki Razali Awang.
Sekitar pukul 11.22 pagi waktu tempatan, sekumpulan tentera dilihat menyerbu kapal Oxygono berdasarkan visual CCTV terkini di SNCC.
Anggota tentera Zionis itu dilihat menaiki kapal berkenaan sebelum menahan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang berada di atas kapal berkenaan.
Beberapa minit kemudian, rakaman CCTV dan peralatan komunikasi di atas kapal itu diputuskan, namun tiada rakyat Malaysia dilaporkan berada di atas kapal Oxygono itu.-KOSMO! ONLINE