PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarahkan mengadakan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah hari ini dan esok sebagai solidariti terhadap pasukan Global Sumud Flotilla ke Gaza yang dihalang oleh Israel.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat tersebut diadakan selepas solat maghrib malam ini dan selepas solat Jumaat esok di semua masjid serta surau di bawah pentadbiran dua agensi berkenaan.
“Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan juga akan membaca khutbah Jumaat khas berkaitan isu Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengesyorkan agar langkah sama dilaksanakan oleh semua masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran jabatan agama Islam negeri-negeri lain.
Dalam masa sama, beliau mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama berdoa agar keselamatan pasukan flotila, khususnya rakyat Malaysia yang menyertainya sentiasa dalam lindungan Allah serta mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin. – KOSMO! ONLINE.