SEPANG- Sebanyak tiga kapal iaitu Alma, Sirius dan Adara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan berada pada status ‘diserang’, manakala sembilan lagi memaparkan isyarat ‘kecemasan’.
Itu maklumat terbaharu dipaparkan sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara setakat pukul 4.20 pagi tadi.
Terdapat sebanyak 44 kapal dinaiki sukarelawan termasuk dari Malaysia dalam pelayaran menghampiri zon merah 2 sebelum tiba di Gaza.
Sebelum ini, Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan menerima laporan mengenai dua kapal GSF yang diceroboh masuk Tentera Laut Israel kira-kira pukul 2.40 pagi tadi.
Menurut SNCC, kapal terlibat ialah Alma dan Sirius yang dinaiki tujuh sukarelawan dari Malaysia.
Kapal Alma dinaiki oleh Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil, manakala Sirius pula membawa Haikal Abdullah, Muaz Zainal dan Zulfadhli.
Pada masa sama, SNCC turut memaklumkan pihaknya terputus hubungan dengan sembilan sukarelawan Malaysia pada pukul 2.30 pagi tadi.
Konvoi itu dijadualkan memasuki kawasan zon merah 2 sekitar pukul 4.53 pagi jika tiada sebarang halangan. – KOSMO! ONLINE