fbpx
Mohd. Youzaimi (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Zalia (empat dari kanan) ketika melawat Kamaruzaman yang terlantar akibat penyakit kanser otak tahap empat di Kampung Tenglu, Mersing baru-baru ini. - Masturah Suradi

Silau, sakit kepala rupanya petanda kanser otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERSING – Seorang pemuda di Kampung Tenglu di sini yang sebelum ini aktif bekerja kini hanya mampu terlantar selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat.

Kamaruzaman Kadir, 38, mula mengalami tanda-tanda awal penyakit itu kira-kira tiga tahun lalu apabila sering mengadu silau pada waktu malam sehingga sukar memandu.

Kakaknya, Zalia, 41 berkata, adik lelakinya itu kemudian ke­rap mengadu sakit kepala dan demam, namun hanya mengambil panadol untuk menghilangkan rasa sakit.

Katanya, keadaan kesihatan adiknya semakin merundum selepas terlibat kemalangan tahun lalu apabila kerap pengsan sehingga tidak dapat bekerja sepenuh masa.

“Adik bekerja sebagai pemandu bot pelancongan. Selepas kemalangan kereta pada tahun lepas adik kerap kali pengsan walaupun kemalangan yang berlaku tidaklah sehingga mencederakannya.

“Sejak adik mengadu masalah penglihatannya saya memang bawa dia ke hospital, namun doktor maklumkan adik baik sahaja tidak ada apa-apa penyakit sebelum dia kerap pengsan dan penglihatannya semakin kabur.

“Kami kemudiannya rujuk dia ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan dari situ doktor cakap dia ada hidap kanser otak tahap empat,” katanya.

Zalia berkata demikian selepas menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof untuk menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga itu di kediamannya di sini baru-baru ini.

Ibu tunggal itu berkata, Kamaruzaman sudah dua kali menjalani pembedahan bagi membuang cecair di kepala serta pembedahan memasang saluran khas untuk mengalirkan cecair keluar dari kepalanya.

“Saya yang banyak menguruskan adik. Ibu dan ayah sudah berusia mereka juga tidak larat. Bahkan sudah 50 hari saya bercuti kerja demi adik. Dia juga perlu dipantau 24 jam saya dan ayah bergilir menjaganya pada waktu malam,” katanya lagi.

Bapanya, Kadir Mat Hussin, 70, yang bekerja sebagai nelayan juga sudah tidak turun ke laut sejak Ogos lalu bagi memberi tumpuan kepada rawatan anaknya, manakala ibunya, Che Kamariah Mahmood, 63, seorang suri rumah.

Tambahnya sekarang adiknya itu yang hanya mampu terlantar bergantung kepada susu khas berharga RM90 setin yang hanya bertahan tiga hari dan juga lampin pakai buang.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Che Kamariah Mahmood, Bank Simpanan Nasional (BSN) 01113- 29-00015759-7.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI