PETALING JAYA – Seramai 201 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan ditahan sebelum diculik rejim zionis Israel setakat pukul 4 pagi (waktu tempatan).
Nadir Al-Nuri dalam Facebooknya memaklumkan sukarelawan paling ramai ditahan adalah dari Sepanyol iaitu 30 peserta diikuti dengan Itali (22 orang).
“Seramai 21 sukarelawan dari negara Turkiye ditahan diikuti Malaysia, 12 orang,” tulisnya.
Terdahulu, GSF dalam kenyataan melaporkan sebanyak 13 buah kapal telah dipintas oleh Israel sekali gus tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza.
Empat buah kapal iaitu Alma, Hio, Huga, Sirius dan Grande Blu yang membawa seramai 12 sukarelawan Malaysia juga dipintas serta diceroboh tentera Israel ketika pelayaran berlaku.
Setakat ini sukarelawan Malaysia yang berada dalam tahanan Israel ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil.
Selain daripada itu termasuklah Zizi Kirana, Farah Lee, Danish Nazram, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Sementara itu tiga lagi kapal yang turut membawa sukarelawan Malaysia iaitu Free Willy, Fair Lady dan Inana dilaporkan masih meneruskan pelayaran ke Gaza.
Bagaimanapun kapal Mikeno dinaiki Ardell Aryana dan Estrella dinaiki PU Rahmat dilaporkan terputus hubungan dan statusnya masih belum diketahui setakat ini. -KOSMO! ONLINE