fbpx
Antara wanita warga asing yang ditahan imigresen dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Sri Hartaman semalam.

Sepatutnya kerja pembantu rumah tapi jadi GRO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kegiatan wanita warga asing menyalahgunakan pas dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) terbongkar dalam serbuan di dua premis hiburan di Sri Hartamas, di sini semalam.

Wartawan Kosmo! yang menyertai serbuan bermula pukul 12.30 malam itu mendapati kesemua wanita yang berpakaian mencolok mata sedang leka melayan pelanggan.

Malah, beberapa individu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun berjaya digagalkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi bermula pukul 12.30 tengah malam itu susulan aduan orang awam dan risikan yang dijalankan selama sebulan.

Menurutnya, daripada 63 inidividu yang diperiksa, seramai 39 warga asing ditahan terdiri daripada 31 wanita dan lapan lelaki.

“Tangkapan melibatkan 22 wanita warga Thailand, sembilan wanita warga Vietnam dan lapan lelaki warga Bangladesh.

“Seramai dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengurus premis turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Wan Mohamed Saupee berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian besar tangkapan wanita warga asing telah menyalahgunakan pas yang dikeluarkan termasuk tinggal lebih masa.

“Apabila kita buat semakan, pas mereka adalah pembantu rumah asing yang dikeluarkan oleh JIM terutama wanita daripada Vietnam dan juga Thailand.

“Jadi, ini adalah satu kesalahan serius. Sepatutnya mereka datang untuk bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi telah menggunakan pas dan bekerja sebagai gadis pelayan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, premis berkenaan mengenakan caj untuk setiap wanita berdasarkan kalung antara RM100 hingga RM500.

Dalam pada itu, katanya, kesemua warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala individu tempatan ditahan mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN