PETALING JAYA – “Radio kami pun sudah dipintas.”
Itu antara dikongsi pelakon Ardell Aryana mengenai situasi terkini pelayarannya bersama delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di zon merah menuju ke Gaza, Palestin hari ini.
Menurut Ardell, kesemua barangan tajam termasuk garpu dan pisau yang digunakan sepanjang pelayaran sudah dikumpul dan difahamkan akan dibuang ke laut sebagai bukti misi mereka tanpa sebarang senjata serta berbahaya.
“Kesemua gunting, sudu dan garpu sudah dikumpul untuk kami buang dalam laut.
“Ini bukti misi kami tanpa senjata dan keamanan. Radio kami pun sudah kena pintas,” katanya dalam siaran langsung TikTok hari ini.
Dalam pada itu, dia juga meminta orang ramai terus menyebarkan tentang misi kemanusiaan GSF dalam media sosial agar pelayaran mereka tidak berdepan sebarang sekatan oleh zionis.
“Tiada apa-apa barang tajam, kami buat begini supaya Israel tidak memanipulasikan misi ini.
“Misi ini untuk beri bantuan iaitu makanan, ubat-ubatan dan susu
“Tolong sebarkan supaya mereka tidak sekat kami punya pelayaran,” ujarnya.
Dia juga memberitahu tidak dapat berhubung dengan aktivis di kapal lain disebabkan talian radio sudah disekat.
Dia juga memberitahu pihak Israel juga sudah mengepung kapal delegasi.
“Berdebar-debar tapi hidup kena tenang. Kami sudah dihampiri pihak zionis,” ujarnya lagi.
Ujar Ardell, seluruh delegasi juga dinasihatkan tak boleh membalas sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak zionis sekiranya ditahan.
“Kami tak boleh membalas apa yang mereka lakukan sebagai bukti kami bukan ancaman dan ini adalah misi kemanusiaan.
“Sikit lagi untuk kami sampai di Gaza, semoga Allah selamatkan semua, kapal-kapal lain,” jelasnya.
“Mereka juga pintas radio kami dan beritahu kami ‘jumpa kalian di penjara'” kongsinya.
Dalam siaran langsung sama, Ardell turut memberitahu terdapat kapal delegasi yang sudah dipintas oleh zionis.
“Kami tak gentar kalau diperlakukan apa-apa tetapi sedih sebab jarak Gaza dengan kami sudah sangat hampir.
“Sudah ada kapal yang sudah dipintas tetapi tidak pasti kapal mana,” katanya lagi.
Bagaimanapun, siaran langsung Ardell kerap terganggu disebabkan talian internet yang tidak stabil.
Selain Ardell, delegasi dari Malaysia yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai beberapa selebriti tanah air lain termasuk penyanyi Zizi Kirana, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan pempengaruh, Farah Lee. – KOSMO! ONLINE
@hibglam.com.my Ujar Ardell, seluruh delegasi juga dinasihatkan tak boleh membalas sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak zionis sekiranya ditahan. #ardellaryana #sumud #gsf #misipelayaran #hibglam ♬ original sound – HIBGLAM