KUALA LUMPUR – Industri berasaskan fesyen di Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih pesat seiring dengan peningkatan urus niaga e-dagang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menurut kajian oleh Shopperboard yang dikeluarkan pada Mei 2025, penembusan industri fesyen dalam pasaran e-dagang tempatan dianggarkan mencecah 19.2 peratus, dengan nilai jualan berjumlah AS$5.24 bilion (RM22 bilion) bagi tahun ini sahaja.
Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meletakkan anggaran potensi industri tekstil dan pakaian sekitar AS$3.5 bilion (RM9.738 billion) setahun dan akan terus berkembang kepada AS$4.47 bilion (RM12.43 billion) menjelas tahun 2030.
“Industri fesyen negara bukan sahaja berpotensi besar dari segi nilai jualan, malah mampu menjadi komponen penting dalam pembangunan ekonomi serta memperkukuh kedudukan produk tempatan di pasaran global.
“Golongan pereka fesyen tempatan perlu dilihat sebagai “fashionpreneur” yang bukan sekadar menggerakkan industri, tetapi turut mencipta rantaian nilai ekonomi lebih besar yang memberi manfaat kepada pendapatan mereka sendiri serta negara,” katanya ketika merasmikan My Gaya Month (2025) (MGM) di Pavilion Bukit Jalil di sini, hari ini.
Armizan berkata, MGM boleh menjadi platform penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana bukan sahaja menampilkan reruai dan jualan 40 jenama terlibat, malah turut mengadakan forum dan sesi libat urus bersama pemain industri bagi membincangkan strategi serta amalan terbaik.
“Pada tahun 2024, program MGM 2024 telah berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.1 juta iaitu peningkatan 39.16 peratus berbanding tahun 2023 iaitu sebanyak RM802,000 nilai jualan.
“Namun kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui angka, sebaliknya kesan selepas penganjuran.
“Antaranya kemajuan para pereka, perkembangan industri fesyen tempatan, serta gerak kerja lebih baik selepas sesuatu penganjuran,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Malaysia Bumiputra Designer Association (MBDA), Bon Zainal Harun berkata, MGM bukan sekadar acara fesyen dan gaya hidup.
“MGM juga sebuah platform untuk menghubungkan institusi akademik, usahawan dan masyarakat sambil menjulang identiti Malaysia Inovasi serta kelestarian.
“MGM menjadi bukti komitmen MBDA dalam memperkasakan pereka tempatan, memartabatkan Malaysia sebagai hab fesyen dan kreativiti serantau serta menyokong aspirasi nasional Kempen Beli Barangan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE