SINGAPURA – Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut apabila melihat seekor tikus bersaiz besar memanjat di atas telur segar yang disusun di sebuah kedai makanan di stesen Transit Laju Massa (MRT) Joo Koon, Singapura dalam dua kejadian berasingan, lapor laman berita Stomp.
Individu dikenali dengan nama Jamie itu berkata, dia mula menyedari kemunculan tikus tersebut pada 22 September lalu dan sempat merakam gambar.
Ketika kembali semula pada 26 September lepas kira-kira pukul 6.08 petang (waktu tempatan), Jamie merakam sebuah video lain yang menunjukkan seekor lagi tikus di lokasi sama.
“Saya benar-benar terkejut, tikus-tikus itu sangat besar!
“Saya memang tidak pernah membeli makanan dari tempat ini, tetapi agak membimbangkan melihat ia berkeliaran sedangkan bekas makanan dibiarkan terdedah. Saya tertanya-tanya adakah ia selamat,” katanya.
Jamie kemudian melaporkan perkara itu kepada Agensi Makanan Singapura (SFA).
Sebagai respons kepada pertanyaan Stomp, jurucakap SFA mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan. – AGENSI