MELAKA – Seorang ibu muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberikan jagaan bayi perempuannya yang berusia tiga bulan 12 hari bagi mendapatkan wang RM2,000, bulan lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh ,Yan Chin Ding, 22, pada tarikh 14 Oktober ini bagi menunggu serahan fakta kes oleh pihak pendakwaan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mengambil bahagian dalam transaksi yang tujuannya untuk memberikan jagaan anak kandung berusia tiga bulan 12 hari kepada pasangan berusia 51 dan 35 tahun bagi balasan berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,000.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di hadapan kedai dobi di Banda Kaba dalam daerah Melaka Tengah, 17 September.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 48(1) akta sama.
Difahamkan, tertuduh yang berasal dari Klang, Selangor telah berhijrah ke Melaka ketika hamil bagi mencari pekerjaan dan mempunyai dua lagi anak masing-masing berusia tiga dan dua tahun yang dijaga oleh datuk serta nenek mereka.
Dalam tempoh itu, tertuduh dikatakan mengalami masalah kewangan hingga berlaku pergaduhan dengan suaminya sebelum mengambil keputusan menjual bayi berkenaan secara rahsia kepada sepasang suami isteri yang menetap di Perak.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia perlu menjaga anak-anaknya yang masih kecil, manakala suaminya hanya bekerja sebagai penjaga stor.
Tambahnya lagi, bayi tersebut kini di bawah jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sehingga 9 Oktober ini.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE