SEPANG- Sumud Flotilla Command Center (SNCC) mengesahkan terdapat aktiviti penerbangan 10 dron yang terbang dalam formasi mencurigakan mengelilingi Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum konvoi itu memasuki zon merah malam ini.
Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center, Datuk Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, pada masa sama, pihaknya mengesahkan wujud cubaan intimidasi daripada kapal tentera yang diyakini milik pihak rejim terhadap dua buah kapal flotilla.
“Kapal tersebut mengelilingi Alma dan Sirius dengan dilaporkan menganggu sistem komunikasi di atas kapal termasuk siaran televisyen litar tertutup.
“Tiada pintasan fizikal berlaku dan seluruh delegasi berada dalam keadaan selamat dan kekal berjaga-jaga,” katanya pada sidang akhbar khas di SNCC di Sepang hari ini.
Selain itu, SNCC turut mengesahkan konvoi GSF telah memasuki Zon Kuning terakhir pada pukul
4.20 pagi waktu Malaysia.
Konvoi GSF yang disertai seramai 400 pelayar antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia dijangka berdepan situasi lebih kritikal hari ini apabila bakal berlayar memasuki zon merah kira-kira pukul 9 malam nanti.
Untuk maklumat, apabila konvoi memasuki zon merah, ia akan mendedahkan mereka kepada risiko serangan rejim Zionis terhadap 46 buah kapal GSF dari 42 negara.
Jika GSF berjaya memasuki zon merah iaitu kira-kira 100 kilometer dari Gaza mereka mungkin berhadapan dengan ancaman lebih serius di mana Israel berikrar akan memastikan kapal-kapal tersebut dihentikan dengan apa cara sekalipun. – KOSMO! ONLINE