BERA – Penduduk sekitar Sungai Bera di sini gempar apabila ribuan ikan pelbagai spesies ditemui mati dan terapung sejak Jumaat lalu, dipercayai akibat pencemaran air.
Seorang penduduk dari Bandar Bera, Rosli Abd. Rahman, 60, berkata, dia terkejut melihat ikan timbul di permukaan sungai ketika melalui kawasan itu pada pagi Sabtu.
Menurutnya, lokasi itu menjadi tempat dia memancing hampir setiap hujung minggu dan kejadian sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Saya seru orang ramai berhati-hati dan jangan beli ikan sungai yang dijual murah secara tiba-tiba, bimbang itu ikan dari Sungai Bera yang mati akibat pencemaran,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pekida Daerah Bera, Mat Jidi Yaakob berkata, penduduk percaya kejadian itu berpunca daripada pembuangan sisa kilang atau racun perosak yang mengalir ke Sungai Bera.
Beliau berkata, bau pelik pada air sungai mula dihidu sejak Jumaat lalu dan semakin kuat pada hari berikutnya apabila ikan timbul secara berterusan.
Sementara itu Pejabat Kesihatan Daerah Bera dalam satu hebahan rasmi di media sosial memberi amaran bahawa ikan mati itu berisiko mengandungi bahan pencemar atau toksik yang boleh menjejaskan kesihatan walaupun selepas dimasak. – KOSMO! ONLINE