MOTEGI, Jepun – Honda dilihat mula mendapatkan rentak terbaik dengan jentera RC213V selepas Joan Mir menghadiahkan podium pertama buat pasukan itu pada Grand Prix (GP) Jepun di Litar Motegi, Ahad lalu.
Keputusan tempat ketiga di laman sendiri itu membolehkan Mir menamatkan penantian panjang untuk menaiki podium semula sejak kali terakhir pelumba Sepanyol itu lakukannya di Algarve, Portugal empat tahun lalu.
Selepas bergelut dengan nasib malang dan masalah teknikal sejak dua musim lalu, Mir membuktikan apa yang mampu dilakukannya bersama Honda di Motegi.
Bermula dengan kesilapan kecil, juara dunia MotoGP 2020 itu bangkit semula, bersaing rapat dengan Marc Marquez dan Pedro Acosta, malah mengekang asakan Marco Bezzecchi di penghujung perlumbaan untuk mengekalkan kedudukannya di podium.
Pencapaian itu hadir selepas Mir turut mencipta detik penting dalam sesi kelayakan apabila menempatkan dirinya di barisan depan buat kali pertama sejak dua tahun lalu.
“Kami sudah lama menunggu hasil seperti ini dan hari ini kami buktikan apa yang saya dan Honda mampu lakukan bila tiada masalah mengganggu.
“Saya sangat gembira untuk diri saya dan semua orang di Honda. Keputusan terbaik ini penting untuk keyakinan kami seluruh pasukan,” kata Mir.
Pelumba berusia 28 tahun itu mengakui Francesco Bagnaia dan Marquez berada pada tahap berbeza, namun tetap berpuas hati dapat mengekang mereka untuk beberapa pusingan.
Bagaimanapun, Mir mengakui masalah getaran pada jentera masih membelenggunya tetapi yakin pasukannya mampu mencari jalan penyelesaian.
GP Jepun menjadi titik kebangkitan Honda selepas beberapa tahun bergelut mendapatkan keputusan terbaik dan lebih parah selepas Marquez berhijrah menyertai Ducati. – AGENSI