MANTAN Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju perkara teknikal membabitkan susur galur tujuh pemain warisan Harimau Malaya perlu dijelaskan bagi mempertahankan diri daripada dakwaan salah laku menyediakan dokumen palsu.
Menerusi audio siar Keluar Sekejap episod 172, Khairy percaya susur galur pemain berkaitan itu juga akan digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam rayuan yang bakal dibuat selepas ini.
“Tetapi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pun sudah keluarkan kenyataan, mereka sudah periksa tiada apa-apa tanda rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa. Jadi saya hanya boleh mengandaikan dokumen dikeluarkan KDN (Kementerian Dalam Negeri) itu tulen.
“Bagaimana mereka buat keputusan tersebut, mungkin perkara itu boleh dijawab oleh kerajaan ada bukti bahawa susur galur mereka, seorang daripada datuk, seorang daripada nenek lahir di Malaysia dan sebagainya.
“Itu saya rasa perkara teknikal boleh dijelaskan dan saya rasa inilah yang nak disampaikan kepada FIFA dalam rayuan nanti,” katanya.
Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan meminta FAM tampil menjelaskan dan berkongsikan bukti penting berkaitan tujuh pemain warisan negara yang digantung oleh FIFA sekali gus membuktikan tiada salah laku terjadi dalam penyediaan dokumen pemain warisan.
Dalam masa sama, Khairy juga menjelaskan negara luar wajar menerima dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sesebuah negara mengikut Konvensyen Vienna.
“Maksudnya mereka perlu prima facie terima dokumen rasmi yang diisukan badan yang diberikan kuasa oleh kerajaan berdaulat. KDN sudah semak, memang ada susur galur dan selepas itu keluarkan kad pengenalan atau pun passport.
“Saya tidak pasti di manakah disebut FIFA kata tindakan ini diambil kerana dokumen yang palsu. Dokumen yang palsu ini satu perkara yang sangat serius, di bawah undang-undang kita pemalsuan adalah satu kesalahan jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE