PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengumumkan bahawa inisiatif Foto Kenangan Terindah Sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara kembali dibuka mulai 1 hingga 30 Oktober ini.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Muhammad Asraf Sukadi menerusi hantaran video di laman TikTok rasmi JPN berkata, tempahan boleh dibuat oleh orang ramai yang berminat untuk mendapatkan koleksi edisi khas itu.
Menurutnya, sambutan yang diterima tahun lalu cukup luar biasa sehingga melangkaui jangkaan pihaknya.
“Pada tahun lepas kami ‘underestimate’ dan terima lebih 11,000 tempahan, hampir mencecah 12,000 ” katanya.
Asraf menjelaskan, koleksi kali ini akan memaparkan gambar pemilik MyKad pada usia berbeza termasuk 12 tahun, 18 tahun dan juga foto terkini.
Terdahulu, inisiatif Foto Kenangan Terindah mula diperkenalkan pada 2023 bersempena sambutan Hari Pendaftaran Negara. Ia menawarkan koleksi gambar MyKad dalam bingkai eksklusif yang boleh dijadikan simpanan peribadi mahupun hadiah kenangan buat keluarga.
Bagaimanapun, JPN menegaskan foto berkenaan bukanlah dokumen rasmi, sebaliknya hanya untuk tujuan sentimental dan simpanan peribadi sahaja.- KOSMO! ONLINE.