PETALING JAYA – Meski rasa bimbang menyelubungi diri, pelakon Nadzmi Adhwa terus berdoa agar perjalanan isterinya Ardell Aryana yang kini berlayar dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba ke destinasi dituju iaitu Gaza, Palestin
Berkongsi perkembangan terkini, Nadzmi menerima mesej daripada wakil pasukan GSF memaklumkan aplikasi WhatsApp isterinya tidak boleh digunakan buat masa sekarang.
“Berita terkini (WhatsApp tidak berfungsi) pagi ini.
“Semoga Allah SWT lindung mereka semua,” katanya dalam platform Threads.
Dalam pada itu, Nadzmi berkata, tiada yang mampu dilakukannya selain terus berdoa untuk keselamatan isteri tercinta.
“Doa suami untuk isteri tiada hijab kan? Ya Allah dengarkanlah doaku ini!
“Berikan mereka kekuatan, lindungi, berkatilah dan berilah mereka sampai di bumi Gaza.
“Ya Allah, hanya padamu kami berserah!” ujarnya.
Hari ini, tular video kapal aktivis GSF diganggu kapal tentera Israel dan sistem komunikasi turut rosak.
Ardell bersama sukarelawan dari 45 negara lain yang menyertai misi bantuan ke Palestin sudah memasuki zon kuning dan kini menghampiri zon merah iaitu sekitar 300 batu nautika dari Semenanjung Gaza.
Sepanjang pelajaran yang bermula pada awal bulan lalu, mereka ditakutkan dengan kehadiran dron dipercayai milik tentera Israel.
Selain Ardell, delegasi dari Malaysia yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai penyanyi Zizi Kirana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi serta pempengaruh, Farah Lee.
Dalam perkembangan terkini, seorang sukarelawan Turkiye memaklumkan sebuah kapal Israel berada sekitar 50 nautika dari flotila mereka malam tadi sekali gus langkah berjaga-jaga diambil semua ahli konvoi yang bimbang risiko dipintas. – KOSMO! ONLINE