KUANTAN – Lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang ditahan selepas dipercayai mengusahakan kebun durian dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram di tanah berstatus Hutan Simpan dan tanah kerajaan di Pahang.
Perintah tahanan reman ke atas empat suspek selama empat hari sehingga 3 Oktober ini dibenarkan Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Raub.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2024 hingga 2025. Mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Empat daripada suspek adalah pekebun dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun temurun dan enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai pemegang pajakan tanah sah oleh kerajaan negeri,” katanya.
Rentetan Op Sekat Durian Haram yang dijalankan oleh kerajaan negeri bermula 25 April lalu, SPRM Pahang menjalankan operasi bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bermula 2 hingga 19 September lalu.
Operasi itu berjaya mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE