fbpx
Gambar hiasan janaan AI.

Penggunaan ‘carseat’ hanya 30 peratus walau diwajibkan sejak 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kadar penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (CRS) dicatatkan masih rendah walaupun diwajibkan sejak 1 Januari 2020.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata kajian pihaknya mendapati tahap penggunaan CRS di Malaysia adalah sekitar 30 peratus sahaja pada tahun 2022.

Menurut Miros, pemakaian CRS merupakan langkah penting untuk melindungi kanak-kanak dalam sebarang kemalangan.

“Ibu bapa dan penjaga disarankan untuk sentiasa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak sebagai langkah keselamatan utama yang terbukti mampu mengurangkan risiko kecederaan dan kematian kanak-kanak.

“Penggunaan CRS yang dipasang dengan betul serta sesuai dengan ketinggian dan berat badan kanak-kanak terbukti dapat mengurangkan risiko kematian penumpang kanak-kanak yang berusia antara 0 hingga 4 tahun sebanyak 54 peratus hingga 71 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Miros berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia bagi tempoh 10 tahun (2014 hingga 2023), purata kanak-kanak maut akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 434 orang setahun.

“Ini bersamaan dengan lapan lapan kanak-kanak yang terkorban setiap minggu,” ujarnya.

Sementara itu, Miros juga menggesa semua pihak, termasuk pembuat dasar, penguatkuasa undang-undang, serta pihak industri untuk terus memperkukuhkan usaha advokasi, pendidikan, dan penguatkuasaan penggunaan CRS di Malaysia.

“Miros sekali lagi menekankan bahawa kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Namun banyak nyawa dapat diselamatkan sekiranya kenderaan diselenggara dengan baik, undang-undang jalan raya dipatuhi, dan langkah keselamatan penumpang khususnya kanak-kanak diberikan perhatian sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu Kementerian Pengangkutan memaklumkan ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) antara punca menyebabkan seorang bayi maut dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, pada 27 September lalu.

Menterinya, Anthony Loke berkata, laporan polis dan siasatan awal mendapati bayi terbabit tidak diletakkan dalam CRS ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN