PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan bersedia dalam rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin berkata, terdapat arahan daripada Ketua Hakim Negara supaya pendengaran rayuan itu ditetapkan pada hujung November atau awal Disember ini.
“Pihak perayu (pendakwaan) bersedia dan hujahan sudah siap, namun responden (Syed Saddiq) yang diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mohon agar rayuan itu didengar pada Januari (2026) dan ia tidak persetujui oleh mahkamah.
“Bagaimanapun, mahkamah minta kedua-dua pihak terutama responden untuk menulis surat dan mahkamah akan menetapkan tarikh pengurusan kes baharu,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding pengurusan kes secara Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahyun Yusof.
Sementara itu, Hisyam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu, beliau memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar bahawa tarikh pendengaran rayuan yang sesuai bagi pihaknya adalah pada pertengahan hingga akhir Januari.
Hisyam berkata, pihaknya diminta mahkamah untuk mengemukakan alasan dalam surat berkenaan, sebab memohon tarikh pendengaran pada Januari yang mana dokumen itu akan dihantar kepada mahkamah hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Kesalahan dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebatan dan denda.
Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera yang merupakan hasil aktiviti haram.
Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan, di sini.
Menurut Wan Shahruddin, petisyen rayuan sebanyak 28 alasan itu antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu.
Syed Saddiq, 33, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Ia selepas mahkamah membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi, sebelum ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. – KOSMO! ONLINE