PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kelancaran pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95), bermula hari ini adalah kerana perancangan yang rapi.
Menurut beliau, berdasarkan pemantauan serta laporan yang diterima, keadaan di stesen-stesen minyak terutamanya pada waktu puncak didapati terkawal.
“Hari ini kita tengok stesen-stesen minyak umumnya termasuk ‘peak hours’ lancar dan ini bukan berlaku secara spontan, ini berlaku kerana perancangan yang begitu rapi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kejayaan terbesar Budi95 adalah menerusi pembelian petrol RON95 dengan pengesahan kad pengenalan yang dapat dibuat di pam stesen minyak.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah bantu untuk melakukan naik taraf sistem di terminal di stesen minyak melalui kepakaran dan bahagian teknologi maklumat JPN seterusnya membantu kira-kira 4,000 syarikat minyak seluruhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kementerian sedang meneliti beberapa isu berbangkit susulan pelaksanaan Budi95 khususnya dalam kalangan anggota dan pesara polis.
“Kita juga ada sejumlah kecil bilangan dikalangan anggota polis yang dia punya lesen memandu itu perlu diintegrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan dan sistem Kementerian Kewangan.
“Kita (turut) kesan 56 orang, mereka tak boleh beli minyak dengan harga subsidi, walaupun (hanya) 56 orang tapi kita akan kesan segera (masalah mereka),” katanya. – KOSMO! ONLINE