fbpx
Sultan Muhammad V (tengah) di Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-56 di Istana Balai Besar, Kota Bharu. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Percepat penyediaan infrastruktur dua lebuh raya di Kelantan – Sultan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan kepada Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan penyediaan infrastruktur Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini.

Baginda bertitah, kemudahan tersebut menjadi laluan utama ke Kompleks Sukan Bukit Merbau serta jalan-jalan susur berkaitan perlu dipercepat bagi memastikan projek siap menjelang penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2028.

Menurut baginda, pembangunan itu penting bagi kelancaran acara sukan terbesar negara berkenaan yang akan dianjurkan di Kelantan sebagai tuan rumah.

“Beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan penyediaan infrastruktur jalan penghubung ke kompleks tersebut termasuk projek Lebuh Raya KBKK, Lebuh Raya LTU selain menaik tarad dan pembinaan jalan-jalan susur ke Kompleks Sukan Bukit Merbau,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-56 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Dalam titah sama, baginda menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan positif projek Kompleks Sukan Bukit Merbau yang kini menjadi mercu baharu pembangunan sukan Kelantan.

Mengulas perkembangan ekonomi negeri, Sultan Muhammad V berkata Kelantan mencatat pertumbuhan ekonomo sebanyak 3.6 peratus tahun lalu iaitu peningkatan daripada 2.6 peratus pada tahun sebelumnya dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar keluaran dalam negeri kasar (KDNK).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI