SOUTHPORT, CAROLINA SELATAN – Sekurang-kurangnya tiga orang maut, manakala lapan lagi yang lain cedera selepas ditembak oleh seorang lelaki bersenjata di sebuah bar di negeri Carolina Selatan, lapor akhbar The Sun.
Kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan) di bar American Fish Company di Southport kelmarin.
Suspek bernama Nigel Max Edge, 40, menyeberangi Sungai Cape Fear dengan menaiki sebuah bot dan berlabuh berhampiran bar tersebut sebelum melepaskan tembakan.
Edge diberkas kira-kira 19 kilometer dari lokasi kejadian selepas polis berjaya mengenal pasti ‘individu dikehendaki’ yang menaiki bot itu.
“Tiada penumpang lain di dalam bot.
“Suspek memiliki raifal AR laras pendek dan skop.
“Dia ditahan oleh Jabatan Polis Pulau Oak dan akan diserahkan kepada Jabatan Polis Southport untuk soal siasat,” kata pihak berkuasa.
Seramai enam mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
“Motif tembakan masih belum diketahui,” kata Ketua Polis Southport, Todd Coring semasa sidang akhbar kelmarin. – AGENSI