KOTA BHARU – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menjadi salah seorang daripada tiga individu yang mendahului senarai 803 penerima anugerah pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Beliau bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Datuk Seri Zukri Samat dan Ketua Pegawai Eksekutif Asianmax Corporation Sdn. Bhd., Datuk Soo Sze Ching menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) Kehormat yang membawa gelaran Datuk.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar pula menjadi penerima tunggal Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) Kehormat, juga membawa gelaran sama.
Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar bersama Pengelola Istana Diraja Kelantan, Brigedier Jeneral Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK), manakala Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid dan Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Datuk Idham Abd. Ghani menerima Darjah SPSK (Kehormat).
Istiadat Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan turut menyaksikan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK).
Turut menerima gelaran Datuk ialah Timbalan Speaker Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.
Mereka menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) bersama enam individu lain termasuk bekas johan Tilawah al-Quran Antarabangsa sebanyak lapan kali, Datuk Faridah Mad Saman, ahli-ahli Kerabat Diraja Kelantan serta kepimpinan jabatan kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Istiadat Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan turut menyaksikan pelantikan enam orang Jaksa Pendamai termasuk Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan ADUN Paloh, Datuk Shaari Mat Hussain. – KOSMO! ONLINE