KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk John’ dipercayai dalang sindiket penyeludupan minyak masak peket akan didakwa Rabu ini atas enam pertuduhan menyeludup barangan itu ke Thailand.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, tujuh lagi individu termasuk dua anggota penguat kuasa yang ditahan berhubung kes itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, kesemua suspek kecuali ‘Datuk John’ dibebaskan selepas tempoh tahanan reman mereka tamat hari ini.
“Hanya ahli perniagaan itu disambung reman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes rampasan lebih 11 tan minyak masak peket bernilai RM27,625.
“’Datuk John’ akan didakwa atas enam pertuduhan di mahkamah pada Rabu ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azman berkata, siasatan mendapati sindiket itu disyaki menyeludup minyak masak peket ke Thailand menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang.-KOSMO! ONLINE.