fbpx
SHAHRIL dan dua rakannya bertemu dengan Wak Misran untuk menuntut ilmu pengasih dalam satu kejadian di satu kampung di utara tanah air pada hujung 1980-an. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Ilmu pengasih ‘makan tuan’, 10 tahun dihantui wajah Ain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USIA muda lazim merupakan zaman kita mempelajari pelbagai ilmu penting untuk menentukan masa depan.

Kisah Mitos kali ini mengisahkan seorang lelaki dari sebuah negeri di utara yang menderita kerana taksub dengan ilmu pengasih yang dipelajari selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung 1980-an.

Menurut Shahril Ali, 53, hati muda sememangnya membuak-buak bukan saja untuk menuntut ilmu akademik malah ilmu pengasih atau penunduk bagi membolehkan hajat di hati mudah dimakbulkan.

“Zaman muda atau zaman rock metal apabila berkawan masing-masing bila bersembang mesti tidak hendak kalah dalam pelbagai topik termasuk pelajaran mahupun perempuan.

“Masalahnya dalam bab memikat ‘awek’ pada era itu, kalau kita sendiri muka tidak berapa kacak maka banyak yang lebih kepada sembang kosong semata-mata,” katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.

Shahril berkata, pada satu hari ketika bermain gitar di bangsal, seorang rakan memberi idea untuk mereka menuntut ilmu pengasih atau penunduk dari seorang tua yang handal dalam ilmu-ilmu berkenaan di kampung sebelah.

Katanya lagi, orang tua berasal dari Seberang itu telah lama menetap dan berkeluarga dengan rakyat tempatan. 

“Saya namakannya dia sebagai Wak Misran sahaja. Beliau terkenal kerana pernah melerai pergaduhan melibatkan beberapa orang samseng seorang diri dengan ilmu batin tanpa perlu mengeluarkan peluh.

“Kesemua samseng yang dipegangnya menangis dan meraung seolah dicengkam makhluk perkasa,” katanya.

Shahril berkata, pada hari yang ditetapkan, dia dan dua rakannya Samad dan Remy ke teratak Wak Misran kira-kira 3 kilometer dari kampung mereka. 

Ketika sampai ke teratak Wak Misran, ceritanya lagi, mereka disambut lolongan anjing hitam yang tiba-tiba lalu di hadapan mereka.

“Remy mencadangkan kami batalkan niat kami kerana tidak sedap hati tetapi saya berjaya yakinkannya dengan mengatakan setiap perjuangan memerlukan keberanian,” katanya.

Sedang mereka kecoh-kecoh di luar rumah, tiba-tiba pintu rumah Wak Misran ‘ternganga’ dan terpacul orang tua itu berkain pelikat sambil mempelawa mereka masuk.

“Setelah masuk dan duduk di kerusi rotan berkusyen, saya pun menyatakan hasrat kehadiran kami bertiga.

“Wak Misran ketawa dan berkata, dia sudah tahu niat kami datang ke rumahnya. Ini membuktikan beliau bukan calang-calang orangnya,” katanya.

Orang tua berusia lebih 60 tahun itu menjelaskan, ilmu pengasih yang diajarnya mempunyai risiko tersendiri jika gagal atau pun berjaya.

Shahril berkata, Wak Misran memberi sekeping kertas dan pensil kepada kami dan mengarahkan ayat-ayat yang disebut disalin.

“Setelah menyalin ayat tersebut kami diarahkan hafalnya apabila pulang nanti. Selepas ayat tersebut dihafal dan nama bakal kekasih diseru bersama, kami diminta berpuasa tiga hari berturut-turut sama ada Isnin hingga Rabu atau Khamis hingga Sabtu,” katanya.

Shahril berkata, antara pantang larangnya jelas Shahril, ilmu pengasih tersebut tidak boleh diamalkan untuk berbuat maksiat dan kami diarahkan untuk memperisteri gadis yang disebut. 

Pada Isnin minggu berikutnya Shahril berkata, dia telah memilih seorang gadis cantik berumur setahun muda daripada dirinya untuk dikenakan ilmu tersebut.

“Orang muda memang tidak sabar untuk membuktikan ilmu yang dipelajari menjadi atau tidak. Gadis bernama Ain itu memang cantik dan tinggal tidak jauh dari rumah saya.

“Setelah saya berjaya selesai puasa tiga hari dan baca ayat yang diarahkan Wak Misran, Ain telah memberi tindak balas yang mengejutkan dengan menghantar surat melalui rakannya.

“Dalam surat tersebut Ain meminta saya bertemu dengannya di satu taman bunga di pekan berhampiran. Tiba-tiba saya menjadi cuak dan bimbang dengan tindak balas ilmu tersebut,” katanya.

Ujar Shahril, menjelang pertemuan dengan Ain jantungnya berdebar kerana bakal bertemu dengan gadis cantik itu.

Semasa pertemuan, Shahril berkata, Ain memang sudah jatuh cinta dengannya hingga menyebabkan dia menjadi takut dan bimbang membina ikatan percintaan.

“Ain masa itu masih di tingkatan empat dan dia sudah mabuk cinta hingga mengajak saya kahwin dengannya, sedangkan saya baru habis SPM dan masih tunggu keputusan,” katanya.

Setelah berbincang dengan Remy dan Samad, Shahril berkata, dia mencadangkan kepada Ain untuk memberi masa tiga tahun sebelum mereka berumah tangga.

Bagi mengumpul wang, Shahril berkata, dia memohon kerja di sebuah kilang dan Ain meneruskan pengajian hingga peringkat SPM.

“Berlaku kisah memilukan, saya terpisah dengan Ain yang tinggal bersama keluarga bapanya di Johor untuk bekerja sementara dia menunggu keputusan SPM.

“Saya menerima khabar menyedihkan tiga bulan selepas Ain ke sana apabila dia memberitahu dia dipaksa keluarga untuk berkahwin dengan seorang jurutera di Johor. Ini bermakna saya gagal memperisteri Ain, maka bermulalah episod duka dalam hidup saya,”ujarnya.

Setelah Ain bernikah dengan jurutera tersebut, Shahril berkata hidupnya menjadi tidak keruan seperti orang terkena sumpahan. Setiap hari tubuhnya tidak bermaya kerana tidak cukup tidur.

“Lebih memeritkan Ain hadir dalam mimpi saya setiap hari dalam keadaan menangis. Saya tidak memahami maksud mimpi tersebut kerana beranggapan Ain sepatutnya gembira setelah berkahwin,” katanya.

Kesan melanggar pantang larang kerana tidak berkahwin dengan Ain jelas Shahril, akhirnya memakan diri selama lebih 10 tahun. Ilmu pengasih itu menyebabkan dia tidak lagi berminat dengan gadis selain Ain yang telah menjadi milik orang lain.

“Bayangkan,jika saya memandang perempuan lain akan ternampak seperti muka Ain. Keluarga saya pun pelik kerana saya tidak mempunyai teman wanita lain selepas Ain.

“Akhirnya derita akibat melanggar pantang terubat apabila saya berjumpa seorang ustaz yang pandai mengubat orang yang disihir semasa saya berusia 28 tahun.

“Alhamdulillah, saya berjaya melupakan Ain setelah lebih sedekad bermimpi dan dihantui wajahnya dalam mimpi dan sedar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN