fbpx
Anesee (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025

PTPTN sasar deposit Simpan SSPN RM200 juta sempena BMS 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan deposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak RM200 juta.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, sasaran itu selaras dengan pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 pada hari ini yang telah diadakan di Central i-City Mall, Shah Alam.

Beliau berkata, penabungan untuk pendidikan tinggi merupakan satu pelaburan jangka panjang yang penting dalam usaha membina masa depan anak-anak.

“Dalam menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat, menabung dari awal ialah satu persediaan bijak dan bertanggungjawab.

“Pada BMS tahun ini, PTPTN menetapkan sasaran jumlah terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anesee berkata, sehingga 31 Ogos lalu, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun yang telah dibuka.

“Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik dan sokongan pendeposit kekal utuh,”katanya.

Terdahulu, PTPTN berkata, BMS 2025 mengetengahkan tema Pengembaraan (Adventures) dan mengekalkan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda”.

Jelas PTPTN, tema ini amat bertepatan kerana kehidupan dan pendidikan anak-anak adalah sebuah pengembaraan yang penuh cabaran dan penemuan baharu.

“Simpanan merupakan simbol kasih sayang, tanggungjawab dan harapan agar anak-anak dapat melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin dalam mengejar impian pendidikan mereka.

“BMS 2025 merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman,”kata PTPTN.

Tambah PTPTN, sempena pelancaran BMS 2025 juga, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya pertandingan mewarna, ‘Action Song’, PTPTN Esport Challenge dan Baby Merangkak Race.

Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan cenderahati eksklusif BMS 2025 yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI