KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Pakistan sanggup berpura-pura pengsan ketika pemeriksaan imigresen semata-mata mahu mengelak ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini malam tadi.
Pemerhatian wartawan Kosmo! di lokasi mendapati wanita terbabit tiba-tiba terbaring ketika sedang dikumpul bersama ratusan warga asing lain.
Situasi itu mencetuskan kekecohan apabila seorang rakannya meraung merayu simpati supaya dia dilepaskan.
Namun, rayuan itu tidak diendahkan pegawai imigresen dan pemeriksaan kesihatan mengesahkan wanita berkenaan berada dalam keadaan sihat dan stabil.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, berkata, semakan lanjut mendapati pasport miliknya telah tamat tempoh sebelum dibawa bersama tahanan lain menaiki lori imigresen untuk tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, tindakan seorang lelaki warga asing yang mengambil video mengundang padah apabila pemeriksaan dilakukan mendapati dia tidak memiliki pasport yang sah.
“Lelaki ini mendakwa sengaja mengambil video ketika operasi dijalankan sekadar simpanan peribadinya.
“Bagaimanapun, pemeriksan dilakukan mendapati video yang diambil itu dihantar kepada beberapa nombor dipercayai sebagai makluman berkaitan serbuan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi, malam tadi.
Wan Mohammed Saupee berkata, seramai 400 individu diperiksa terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh, India, Jordan, Nepal, Filipina dan Sri Lanka serta warga tempatan.
Katanya, daripada jumlah itu, 199 ditahan, termasuk 196 warga asing dan tiga majikan tempatan.
“Operasi dijalankan menerusi KL Strike Force ini turut melibatkan kerjasama JIM Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan serta turut dibantu Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Operasi turut melibatkan pemeriksaan sebanyak 45 premis merangkumi kedai runcit, restoran, kedai serbaneka dan pelbagai premis perniagaan lain,” ujarnya.
Susulan itu, kesemua individu ditahan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Antara kesalahan dikesan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1963, Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55B Akta Imigresen.
“Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 oleh DBKL, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 oleh KPDN dan Seksyen 30(1) Akta Syarikat 2016 dan Seksyen 17A(2) Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 2019 oleh SSM,” katanya. – KOSMO! ONLINE