PETALING JAYA – Acara padanan perniagaan tahunan utama Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), iaitu SME Bank XCESS 2025 (XCESS 2025) di Kuala Lumpur, semalam menghubungkan 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pembeli ASEAN dan syarikat utama tempatan, membuka potensi jualan RM45 juta.
Bertemakan ‘Entrepreneur Gateway to the ASEAN Market’, acara itu mengukuhkan kedudukan SME Bank sebagai platform utama negara dalam memacu integrasi perdagangan PKS serta memperluaskan peluang eksport.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, PKS kekal sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia, dengan sasaran sumbangan 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan 15 peratus kepada eksport tahun ini, di samping menyokong hampir separuh tenaga kerja negara.
“Sebagai pemacu pertumbuhan dalam sektor utama, sumbangan KDNK PKS dijangka melebihi RM1 trilion menjelang 2030.
“Platform seperti XCESS 2025 adalah penting dalam menyepadukan PKS Malaysia ke dalam ekonomi ASEAN dan seterusnya melalui kerjasama strategik, memperluaskan akses pasaran dan mengukuhkan daya saing serantau,” katanya dalam ucapan perasmian semalam.
Sempena pelancaran XCESS 2025, Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) telah menjalin kerjasama tiga hala bersama SME Bank dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) melalui Trade Credit Takaful Facility.
Kerjasama ini telah berjaya mencatatkan transaksi pertama untuk pelanggan SME Bank, iaitu Amat Sinar Sdn. Bhd yang berjaya memperoleh nilai eksport RM11.1 juta ke China dan Amerika Syarikat.
Melalui kerjasama berkenaan, SME Bank menyediakan kemudahan pembiayaan, manakala EXIM Bank memberikan perlindungan Trade Credit Takaful Facility, menggabungkan sokongan kewangan dengan perlindungan risiko dan memudahkan transaksi.
Sejak penubuhannya pada 2016, XCESS telah meneraju lebih 1,800 sesi perniagaan, melibatkan hampir 150,000 usahawan PKS dan bekerjasama dengan hampir 150 rakan strategik. – KOSMO! ONLINE