fbpx
Band asal Indonesia, Samsons kini dianggotai Adrian Martadinata selaku vokalis, Irfan Aulia (gitar), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Aldri Dataviadi (gitar bes).

Simbolik cinta Samsons untuk peminat di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IBARAT rumah kedua, band terkenal Indonesia Samsons sekali lagi diberi penghormatan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur menerusi konsert Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah yang akan dijayakan di Idea Live Arena, Petaling Jaya 9 November depan.

Kali terakhir melunaskan konsert di Malaysia dua tahun lalu, Samsons yang kini dianggotai Adrian Martadinata selaku vokalis, Irfan Aulia (gitar), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Aldri Dataviadi (gitar bes) mematri janji ingin menghadiahkan momen terbaik buat peminat di negara ini.

Vokalis Samsons, Adrian Martadinata berkata, menerusi konsert itu, mereka mahu memberikan malam penuh magis kepada peminat dengan persiapan lebih mampan.

“Sudah tentu banyak perkara perlu difikirkan untuk konsert kali ini merangkumi aspek teknikal, susunan persembahan, pilihan lagu dan muzik itu sendiri. Begitu juga persiapan fizikal dan mental.

“Setiap satu perlu digabungkan dengan seimbang kerana bagi kami, konsert bukan sekadar mengenai berdiri di pentas dan menyanyi,” katanya kepada HibGlam pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.

Konsep

Selepas kali terakhir membuat persembahan di Malaysia menerusi konsert solo di Zepp Kuala Lumpur pada 2023, Adrian berkata, Samsons kini hadir dengan matlamat baharu iaitu membawa konsep lebih segar-bugar.

“Kali ini kami membawa konsep lima elemen (lima album), ditambah satu lagi elemen simbolik cinta yang juga mewakili lagu baharu serta album baharu.

“Kesemua elemen itu kami selaraskan dengan pencahayaan, visual dan rekaan pentas, supaya penonton bukan sahaja mendengar muzik, tetapi turut merasakan sebuah pengalaman menyeluruh,” katanya.

Pada masa sama, Adrian bersyukur dengan penerimaan serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.

“Sebelum datang ke Malaysia (untuk sidang media konsert), kami baru selesai mengadakan konsert di Lombok dan Sumbawa. Sambutan peminat di sana sangat luar biasa.

“Namun, bagi saya, kehangatan peminat Malaysia tidak pernah berkurang nilainya. Sama seperti pada tahun 2023, sokongan mereka sentiasa hebat dan membanggakan kami.

“Jadi, saya rasa tiada perbezaan besar kerana akhirnya semuanya kembali kepada lagu itu sendiri,” katanya.

Album baharu

Mengenai album baharu, Adrian menyifatkannya sebagai fasa baharu yang akan melengkapkan perjalanan Samsons selepas dua dekad berkarya.

“Untuk album baharu, kini sudah memasuki proses ‘mixing’. Semua lagu sudah siap dirakam dan single utama juga sudah dipilih.

“Malah, kemungkinan besar single itu akan kami bawakan buat pertama kali di Malaysia dalam konsert ini, bahkan sebelum diperdengarkan di Indonesia.

“Sekarang kami hanya menunggu proses ‘mixing’ dan ‘mastering; selesai, sebelum album itu dilancarkan secara rasmi,” katanya.

Sepanjang karier, Samsons sudah merakamkan enam album iaitu Naluri Lelaki pada 2005 diikuti Penantian Hidup (2007), Samsons (2009), Perihal Besar (2013), V (2020) termasuk album baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Lagu-lagu seperti Kenangan Terindah, Naluri Lelaki dan Di Ujung Jalan masih segar di bibir peminat biarpun semakin hari, semakin ramai band baharu muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI