PETALING JAYA – Pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara akan dilengkapi dengan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemasangan CCTV berteknologi tinggi tersebut dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 yang berlangsung semalam.
“Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat JKKTN Siri 7, perhatian serius diberikan dalam usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terpelihara.
“Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.
Menurut beliau, perbuatan itu melanggar kedaulatan maritim Malaysia dan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.
Tegas beliau, pendirian kerajaan dalam perkara tersebut adalah tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara.
Sehubungan itu, katanya, Mesyuarat JKKTN Siri 7 Mesyuarat bersetuju isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara terlibat.
“Reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara.
“Mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE