MELAKA – Melaka bakal mencuri tumpuan dunia apabila menjadi lokasi pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, yang buat julung kalinya turut digabungkan dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 serta Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Majlis penuh berprestij itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Encore Melaka, malam esok, sekali gus mengangkat negeri bersejarah ini sebagai pentas utama pelancongan antarabangsa dengan kehadiran delegasi asing dan pemain industri pelancongan dari seluruh pelosok negara.
Kempen TMM2026 yang bertemakan ‘Malaysia Truly Asia’ dan ‘Surreal Experience’ menyasarkan kedatangan lebih 35.6 juta pelancong, menjadikannya antara inisiatif terbesar negara dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Acara pelancaran dijadualkan bermula pada pukul 6 petang dengan kemuncaknya menampilkan persembahan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Misha Omar di pentas terapung yang dibina di atas perairan Selat Melaka, selain pertunjukan cahaya melibatkan 1,000 dron.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelancaran tersebut bakal mencatat lembaran baharu sejarah negeri apabila lebih 155 delegasi antarabangsa serta ahli Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) hadir sempena penganjuran WTD dan WTC.
“Esok kita bakal menyaksikan pelancaran TMM2026 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Kempen nasional ini menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong dari dalam dan luar negara.
“Lebih 155 delegasi antarabangsa bersama ahli UNWTO akan berkampung di bumi bersejarah ini,” katanya ketika berucap merasmikan Visit Malaysia Travel Meet (VMTM) 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.
Turut hadir pada perasmian itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut Ab. Rauf, sejajar dengan aspirasi Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, penganjuran VMTM 2025 selama tiga hari menjadi platform strategik yang menghimpunkan lebih 400 penggiat industri pelancongan dari seluruh negara di bawah satu bumbung.
“Lebih daripada sekadar pertemuan, acara ini menjadi jambatan untuk memperluas rangkaian antarabangsa, merintis peluang pelaburan baharu serta membuka ruang kolaborasi yang mampu melonjakkan industri pelancongan negara ke tahap lebih tinggi.
“Saya yakin limpahan manfaat daripada acara ini akan mengalir ke segenap lapisan masyarakat, daripada perusahaan kecil di peringkat komuniti sehinggalah kepada peneraju utama industri pelancongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE