fbpx
Ewon Benedick (tiga dari kanan) dan Syed Faisal Albar (hujung kiri) bergambar bersama pasukan MAIA selaku pemenang penerima hadiah utama SIC 2025.

MAIA Sdn. Bhd. gondol hadiah utama SIC Malaysia 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pasukan inovasi tempatan, MAIA Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Swiss Innovation Challenge (SIC) Malaysia 2025.

Pasukan itu menggondol ha­diah utama menerusi projek inovasi ‘Ali.AI: The Future of AI-Powered Clinical Support in Your Pocket’ yang menawarkan penyelesaian diagnostik berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Projek itu mampu mengesan tulang patah, penyakit paru-paru, masalah kulit, bacaan elektrokardiogram (ECG) yang merekodkan aktiviti jantung, dan pelbagai aplikasi perubatan lain.

Selain hadiah utama yang meru­pakan tajaan penuh perjalanan ke Switzerland untuk mewakili Malaysia dalam SIC peringkat antarabangsa pada November, pasukan terbabit turut meraih tempat pertama bagi kategori Potensi Pengkomersialan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai, dan kemasukan ke dalam program Malaysia Research Accelerator for Technology & Innovation – Yayasan Inovasi Malaysia.

Hadiah utama disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada Majlis Makan Malam Gala SIC Malaysia 2025 di Pusat Dagangan Dunia, di sini malam kelmarin.

Turut hadir Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser; Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar; serta Pengerusi SIC Malaysia 2025, Profesor Datuk Dr. Omar Osman.

Lebih istimewa, edisi SIC pada tahun ini julung kalinya dianjurkan oleh DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU).

Langkah itu sebagai usaha berterusan DRB-HICOM dan DHU untuk memacu inovasi serta pendigitalan, selain memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

SIC 2025 bermula pada bulan Mac lalu dan peserta kemudian melalui tiga pusingan pembentangan (pitching), termasuk pusingan terakhir untuk memilih pemenang.

Sepanjang pertandingan, setiap peserta menerima sesi bimbingan dan latihan dari mentor ma­sing-masing.

Ewon dalam ucapannya menegaskan kepentingan inovasi sebagai tonggak utama pembangunan.

Terdahulu, Ewon berkata, SIC 2025 telah menarik kira-kira 250 permohonan dari seluruh negara.

Jelas beliau, penyertaan pada tahun ini melibatkan universiti awam dan swasta, syarikat pemula (startups), serta inovator bebas.

“Penyertaan yang pelbagai ini mencerminkan ekosistem inovasi negara yang semakin berkembang dan mampu menarik minat gene­rasi muda serta usahawan untuk tampil mencabar kebolehan ma­sing-masing.

“Selain itu, ia turut mencermin­kan hasrat kerajaan untuk membina landskap inovasi yang inklusif dinamik, dan berpaksikan rakyat,” katanya pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), inovasi kekal sebagai tonggak utama pemba­ngunan inklusif dan mampan.

Ia sekali gus memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir ketika negara melangkah ke arah ekonomi masa hadapan.

“Swiss Innovation Challenge telah menjadi simbol komitmen ini. Dimulakan oleh University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland, ia berkembang menjadi sebuah platform global yang menghubungkan idea-idea berani merentasi benua.

“Sejak 2017, ia menjadi mercu tanda sokongan kepada Dasar Inovasi Negara. Keunikan SIC terletak pada pendekatan menyeluruhnya terhadap inovasi.

“Dibahagikan kepada tiga fasa dinamik iaitu Potensi Idea, Pembangunan, dan Potensi Pengkomersialan, ia melangkaui konsep pertan­dingan semata-mata,” ujarnya.

Kategori Idea SIC Malaysia 2025 diungguli oleh pasukan dari UCSI, yang mengetengahkan makanan ternakan udang yang mampu mengurangkan kos sehingga 35 peratus.

Dalam pada itu, Ewon berkata, inovasi adalah sebuah perjalanan yang menuntut pembaharuan berterusan serta kerjasama erat.

Justeru, beliau menyeru semua pihak berkepentingan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Ekonomi untuk terus menyokong inisiatif seperti SIC.

“Kita mesti mewujudkan pendekatan menyeluruh terhadap inovasi dengan kerajaan, industri, akademia dan rakyat bergerak se­iring menuju visi bersama.

“Inilah caranya yang akan meletakkan Malaysia bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai pe­neraju global dalam bidang inovasi dan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, penganjuran SIC 2025 selaras de­ngan usaha berterusan pihaknya bersama DHU untuk terus memperkukuh inovasi dan pendigitalan di negara ini.

Katanya, inisiatif itu memfokuskan kepada TVET sebagai asas untuk membina modal insan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri masa depan.

“Pertandingan seperti SIC bukan sekadar platform bagi memperlihatkan kreativiti dan bakat generasi muda, tetapi turut menyediakan bimbingan, mentor serta pendedahan pasaran sebenar untuk menjadikan idea inovatif mereka sedia dikomersialkan,” katanya.

Info Pemenang SIC 2025

  • Hadiah Utama & Potensi Pengkomersialan: MAIA Sdn. Bhd. menerusi projek Ali.AI: The Future of AI-Powered Clinical Support in Your Pocket.
  • Kategori Pembangunan: ABLE Sdn. Bhd. menerusi inovasi Enjoyable (audio masa nyata untuk orang kurang upaya penglihatan).
  • Kategori Idea: Pasukan Universiti UCSI menerusi projek InsecBoost (makanan udang daripada serangga).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN