KUALA LANGAT – Isu pengusaha taska yang enggan menerima bayi berusia bawah 12 bulan timbul susulan kebimbangan mereka terhadap kesan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 yang mula berkuat kuasa Ogos lalu.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, isu berkenaan telah dibawa dan bincangkan menerusi pertemuan dengan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, baru-baru ini.
“Kementerian sedang melakukan kajian mengenai kesan kenaikan gaji minimum RM1,700 termasuklah kepada pengusaha taska. Dalam masa sama saya nyatakan hasrat agar kementerian meneliti keperluan pemberian subsidi kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska.
“Langkah itu bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa, malah memberi kelebihan kepada pengusaha taska yang kini berdepan cabaran kos operasi tinggi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Mydin Mart di Olak Lempit, hari ini.
Menurut Anfaal, isu tersebut bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan bayi, tetapi turut membabitkan kelangsungan perniagaan dan kualiti pengurusan taska.
“Kajian terakhir daripada kementerian belum diperoleh lagi, namun saya sudah sampaikan supaya ia dibuat lebih terperinci dengan data, fakta dan hujah yang kukuh bagi membolehkan dasar lebih tepat digubal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anfaal berkata, kerajaan negeri akan lebih aktif membantu kelangsungan pengusaha taska termasuk berdaftar dan beroperasi lebih baik melalui dana RM400,000 dibawah geran pusat jagaan.
“(Gerakan tidak mahu mengambil bayi bawah 12 bulan di premis mereka) itu timbul selepas panik para peringkat awal penguatkuasaan gaji minimum diumumkan. Tetapi disebabkan cakap-cakap tersebut, saya telah sampaikan kepada kementerian tentang perlunya kajian lebih mendalam,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Anfaal mendedahkan menerima aduan terdapat segelintir pengusaha taska dikatakan mula mewujudkan gerakan tidak mengambil bayi bawah 12 bulan di premis mereka.
Malah, terdapat juga pengusaha taska meletakkan lebihan syarat-syarat sehingga membebankan ibu bapa. – KOSMO! ONLINE