MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim dilapor kekal mendapat sokongan daripada pemegang saham kelab itu, Sir Jim Ratcliffe biarpun kelab itu masih belum benar-benar stabil.
Laporan menyebut, Ratcliffe dalam pertemuan bersama Amorim dan para pemain sebelum aksi menentang Chelsea menzahirkan rasa gembira dengan aktiviti kelab ketika pasaran perpindahan pemain musim panas lalu dan memuji peningkatan dipamerkan.
“Ratcliffe dan INEOS gembira dengan perjalanan sepanjang musim panas lalu, pemain yang mereka beli serta sistem yang sedang dibina yang semakin memperlihatkan kesan lebih baik.
“Mereka percaya, United kali ini kelihatan jauh lebih positif berbanding ketika Amorim mula-mula mengambil alih pasukan itu. Kelab memberikan sokongan penuh kepada Amorim yang semakin jelas dengan pasukan yang cuba dibentuk,” menurut laporan tersebut.
Bagaimanapun, dalam pertemuan Ratcliffe turut menzahirkan rasa kurang senang mengenai spekulasi mengaitkan bilik persalinan United apabila beberapa pemain senior didakwa hilang keyakinan terhadap sistem 3-4-3 yang diterapkan oleh Amorim.
“Mereka mengagumi beberapa nama termasuk Oliver Glasner yang dikaitkan dengan United, namun kekal mempertahankan Amorim. Tidak ada senarai pengurus baharu yang dirancang setakat ini.
“Manchester United masih mahu mencuba untuk kekal menjalinkan kerjasama dengan Ruben Amorim. Sebab itu, mereka masih memberikan peluang dalam beberapa perlawanan untuk Amorim buktikannya,” jelas laporan berkenaan. – AGENSI