fbpx
Azman (tengah) menunjukkan sebahagian minyak masak peket yang dirampas di dalam MPV Toyota Vellfire pada sidang akhbar di Pejabat KPDN Kelantan, Kota Bharu hari ini. Foto oleh MUSTAQIM MOHAMED / KOSMO!

‘Datuk John’, dua penjawat awam disyaki terlibat sindiket seludup minyak masak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan minyak masak peket didalangi seorang lelaki yang dikenali ‘Datuk John’ tumpas selepas suspek dan anak-anak buahnya ditahan menerusi Operasi Bersepadu Membanteras Penyelewengan dan Penyeludupan Barang Kawalan Bersubsidi di daerah ini dan Pasir Puteh semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu merupakan antara lapan suspek yang ditahan termasuk dua penjawat awam dipercayai terlibat dengan kegiatan ‘counter setting’ di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, siasatan mendapati, Datuk John dan ahli sindiketnya dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan minyak masak peket ke Thailand sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, lelaki itu bersama dua penjawat awam dicekup dalam serbuan di Jalan Kuala Krai di sini semalam.

“Penjawat awam itu dipercayai terlibat dengan kegiatan ‘counter setting’ apabila mereka berperanan sebagai pemandu dan pembantu pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang membawa bahan mentah tersebut ke Thailand.

“Kedua-dua lelaki itu disyaki memudahkan perjalanan MPV memasuki Thailand melalui salah satu ICQS di negeri ini,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDN Kelantan, di sini hari ini.

Azman memberitahu, menerusi serbuan dan tangkapan kesemua suspek, lebih 11 tan minyak masak peket bernilai RM27,625 dirampas termasuk sebuah MPV Toyota Vellfire, sebuah trak pikap dan dua buah lori.

Menurutnya, tangkapan dijalankan semasa kesemua yang terlibat sedang memindahkan lebih kurang 30 kotak minyak masak bersubsidi dari lori ke MPV tersebut untuk dibawa masuk ke Thailand melalui ICQS.

“Kita sudah memburu Datuk John itu sejak 2023 kerana namanya pernah disebut oleh orang kena tahan menerusi tiga kes tangkapan penyeludupan minyak masak peket di Pasir Mas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN