PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi membincangkan isu serantau, khususnya berkaitan konflik Kemboja–Thailand.
Dalam perbualan itu, Anwar menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau.
Menurutnya, Trump turut mengiktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai satu pencapaian besar yang memperlihatkan kewibawaan negara dan keteguhan ASEAN.
“Saya juga menyampaikan penghargaan kepada beliau atas peranan yang dimainkan AS dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai,” kata Anwar dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata Malaysia menantikan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan yang bakal menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
Perbualan telefon itu berlangsung ketika Anwar menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, yang berada di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 dan mesyuarat berkaitan. – KOSMO! ONLINE.