SEBERANG JAYA – Tidak mematuhi isyarat lampu merah, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar antara trend kesalahan utama pengguna jalan raya di negeri ini.
Menerusi Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, kesalahan itu dikenal pasti menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Unit Falcom JPJ Pulau Pinang.
Menurutnya, penguatkuasaan berfokus itu dijalankan bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan dan persendirian serta penunggang motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang semasa pemanduan di jalan raya.
“Sebanyak 183 notis saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang telah melakukan kesalahan tersebut pada penguatkuasaan yang diadakan minggu ini.
“Pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang ketika pemanduan bagi memastikan keselamatan anda selamat di jalan raya,” ujarnya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, menerusi Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan pula, pelbagai kesalahan dikesan iaitu membawa lebih muatan daripada had yang dibenarkan, tidak tutup muatan, tiada lesen memandu (CDL dan tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL).
Antara kesalahan-kesalahan teknikal yang turut dikenal pasti adalah seperti tayar haus berlebihan, lampu brek dan isyarat tidak berfungsi, pasang strobe light tanpa kebenaran, ubah suai kenderaan dan tidak selenggara kenderaan dengan baik.
“Dalam Ops ini juga, kesalahan-kesalahan yang dikesan melibatkan penumpang bas ekspres adalah tidak pakai tali pinggang keledar, tiada pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh iaitu perjalanan melebihi 300km atau 4 jam berterusan pemanduan (bas ekspres dan persiaran) dan tidak kemaskini buku log pemandu.
“Penguatkuasaan ini diadakan bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan ini mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-kaedah di bawahnya,” jelasnya.
Tambahnya lagi, operasi penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan kadar kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan dapat dikurangkan dan selamat digunakan di jalan raya. -KOSMO! ONLINE