PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di Gaza dalam tempoh empat hari lagi.
Sukarelawan Malaysia, ZRA Strim atau nama sebenar Zainal Rashid Ahmad berkata, bot yang terlibat dalam misi tersebut kini memecut laju bagi mengejar masa.
“Pagi hari kelapan (pelayaran) matahari terbit indah seperti selalu. Bot-bot pelayar kembali dipacu laju mengejar waktu.
“Insya-Allah empat hari lagi sampai ke Gaza,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Media hari ini melaporkan, Sepanyol menghantar kapal perang bagi melindungi konvoi GSF yang dalam pelayaran menghampiri perairan Gaza.
Ia selepas Itali terlebih dahulu mengerakkan kapal perang negara itu bagi mengiringi misi kemanusiaan tersebut yang berdepan ancaman Israel.
Zainal Rashid berkata, misi kemanusiaan GSF sedang berlayar dengan selamat tanpa ancaman dron waktu ini.
Menurut beliau, khabar angin mengenai ancaman Israel dijangka lebih agresif malam tadi tidak berlaku.
“Cuma laut bergelora dan angin kencang. Semua 53 kapal GSF belayar di Tebing Crete, Greece bagi mengelakkan kesan ombak tinggi dan laut bergelora.
“Sebagai misi gerakan masyarakat awam, bahaya pasti ada. Kita berdepan tentera paling zalim (Israel) di dunia pada alaf ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE