PETALING JAYA – Festival Anifest meneruskan penganjurannya kali kesembilan tahun ini yang akan diadakan pada 4 dan 5 Oktober ini di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur.
Penganjuran kali ini menerima penyertaan daripada 30 penggiat komik tempatan terdiri daripada kartunis, pelukis komik, animator, pembangun permainan serta tenaga akademik dan komuniti kreatif.
Pengerusi Anifest, Mohd. Zahir Zainal Abidin berkata, Anifest kali ini turut melangkau sempadan melibatkan penyertaan penggiat seni dari Indonesia dan Brunei Darussalam, menjadikan ia sebagai medan perkongsian idea.
“Anifest tahun ini bukan sekadar meraikan seni kreatif, tetapi mengangkat naratif bahawa industri ini mampu bertahan dan berkembang dengan menyesuaikan diri bersama teknologi. Variasi dan adaptasi adalah kunci untuk kita melangkah lebih jauh,” ujarnya.
Dalam tempoh satu dekad, festival ini berkembang menjadi sebuah platform seni kreatif dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional TVET utama di Malaysia, menggabungkan komik, animasi, kartun, permainan digital dan teknologi baharu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Festival Anifest Malaysia 2025 boleh melayari Facebook Anifest Malaysia. -KOSMO! ONLINE