KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berhubung notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pengisytiharan hartanya termasuk wang emas digital dan wang kripto.
Bagaimanapun tertuduh Mohd. Shahril Abu Bakar, 41, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mengabai dan tidak mematuhi terma notis bertulis di bawah seksyen 36(1)(a) akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 30 Mac 2024.
Ia apabila tertuduh telah memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah dengan gagal mengenal pasti dan bagaimana harta-harta diperoleh antaranya kemasukan wang oleh sebuah syarikat ke akaun banknya, wang emas digital yang disimpan melalui sebuah platform sebanyak 716.8261 gram, wang kripto dilaburkan sebanyak RM80,000
Selain itu ialah wang yang dilaburkan di dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah sebanyak RM39,198 dan pinjaman perumahan sebuah rumah di Johor Bahru, sebanyak RM68,000 yang kesemuanya milik tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 28 Jun 2024 yang didakwa mengikut seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.
Hakim Rosli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Oktober ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE