fbpx
AB RAHAMAN (dua dari kanan) cecair dan serbuk dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. Foto oleh BAZLAN IBRAHIM/KOSMO!

Bancuh teh herba, perisa vape ‘berdengung’ dalam apartmen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kegiatan satu sindiket dadah menjadikan sebuah apartmen di Taman Delima 2 di sini sebagai makmal untuk membancuh ekstasi terbongkar susulan penahanan sepasang kekasih dan seorang lelaki dalam tiga serbuan di daerah ini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan pertama pada pukul 10.35 malam, polis memberkas sepasang kekasih yang juga pengedar dadah ketika menginap di sebuah hotel di Taman Sentosa di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya merampas tiga botol berisi 1.5 liter cecair disyaki ekstasi di lokasi tersebut.

“Hasil soal siasat ke atas pasangan itu, polis menyerbu lokasi kedua di tepi Jalan Sutera 3, Taman Sentosa dan menahan seorang lelaki.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua katrij vape berisi 4 mililiter cecair dan tiga peket serbuk ekstasi seberat 119.50 gram (g),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab. Rahaman berkata, pihaknya kemudian menyerbu sebuah apartmen dan merampas 64 peket serbuk ekstasi seberat 4.24 kilogram (kg), 132 botol cecair ekstasi (112.22 liter), 67 peket dan 20 bekas berisi dadah MDMA (19.79kg), 74 katrij vape berisi cecair ekstasi (148 mililiter).

Turut dirampas enam peket mengandungi 600 biji pil ekstasi, 12 peket serbuk ketamin, peralatan memproses dadah, sebuah kereta jenis Volkwagen Passat dan seutas rantai leher bernilai RM55,625.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 24.42 kg dan 113.87 liter bernilai RM3.49 juta.

“Sindiket dadah ini menjadikan apartmen yang disewa sebagai tempat membancuh dan memproses dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan termasuk di pusat hiburan,” katanya.

Jelas beliau, suspek pertama dan kedua merupakan pengedar, manakala suspek ketiga pula adalah ‘ahli kimia’. Sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak Julai lalu.

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1852.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN