WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam menuntut siasatan dilakukan ke atas apa yang dianggap sebagai ‘tiga sabotaj’ selepas sebuah eskalator, teleprompter dan sistem bunyi tidak berfungsi ketika beliau berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
PBB menyatakan, insiden semasa Trump berada di ibu pejabatnya di New York kelmarin tidak disengajakan dan sebahagiannya berpunca daripada kakitangan White House sendiri.
Namun, dalam catatan media sosial yang panjang dan penuh kemarahan, Trump menyifatkan siri kejadian itu sebagai ‘sangat jahat’ dan menggesa pelakunya ditangkap serta menambah, pasukan pelindung Presiden Amerika Syarikat(AS), Perkhidmatan Rahsia juga sedang menyiasat.
“(Siri insiden) ini bukan kebetulan, ini adalah tiga sabotaj di PBB. Mereka sepatutnya malu,”
“Saya menghantar salinan surat ini kepada Setiausaha Agung (Antonio Guterres) dan saya menuntut siasatan segera. Tidak hairanlah PBB tidak dapat melakukan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya,” kata Trump di platform Truth Social.
Rakaman video menunjukkan presiden berusia 79 tahun itu dan Wanita Pertama Melania Trump menaiki eskalator di ibu pejabat PBB kelmarin sebelum tangga bergerak itu berhenti secara tiba-tiba, menyebabkan mereka terpaksa berjalan ke tingkat atas.
Kemudian, ketika memulakan ucapannya, Trump mendapati teleprompternya tidak berfungsi.
Semasa berucap, beliau menghabiskan sebahagian besar ucapannya mengkritik badan dunia itu, menuduhnya membiayai migrasi haram yang mengubah demografi negara-negara Barat menjadi ‘neraka’ sehinggakan gagal menyokong usaha damainya di Gaza serta Ukraine.
Sementara Trump pada mulanya berjenaka mengenai isu eskalator, anginnya menjadi lebih serius sehari kemudian.
“KEJADIAN YANG SANGAT MEMALUKAN berlaku di PBB semalam (kelmarin). Bukan satu, bukan dua, tetapi TIGA kejadian yang sangat jahat!” tulisnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, seorang juruvideo daripada delegasi AS ‘mungkin secara tidak sengaja mengaktifkan fungsi keselamatan’ pada eskalator tersebut, menyebabkan ia tiba-tiba berhenti,
“Mengenai teleprompter pula, kami tidak mempunyai komen kerana teleprompter untuk presiden AS dikendalikan sendiri oleh White House,” katanya. – AFP