WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa bahawa beliau telah menamatkan tujuh peperangan sejak kembali ke White House awal tahun ini.
Beliau sekali lagi membuat dakwaan itu ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
“Dalam tempoh hanya tujuh bulan, saya telah menamatkan tujuh peperangan yang mustahil ditamatkan,” kata Trump.
Berikutan itu, AFP meneliti rekod bercampur-campur Presiden AS itu berhubung konflik antara tujuh negara yang beliau sebutkan dalam ucapannya di PBB.
1. Kemboja dan Thailand
Peperangan lima hari antara Kemboja dan Thailand mengorbankan berpuluh-puluh orang pada Julai lalu selepas pertikaian wilayah mencetuskan pertempuran rentas sempadan.
Gencatan senjata bermula selepas panggilan telefon Trump dan pengantaraan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap pengerusi blok serantau ASEAN serta delegasi perunding China.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet kemudian berkata, beliau mencalonkan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel, sambil memuji presiden AS itu kerana diplomasi yang berpandangan jauh dan inovatif.
2. Kosovo dan Serbia
Serbia dan Kosovo masih belum menandatangani perjanjian damai muktamad dan pasukan pengaman pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ditempatkan di kawasan itu sejak berakhirnya perang 1998–1999 antara gerila Albania etnik serta tentera Serbia.
Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008, langkah yang tidak diiktiraf oleh Belgrade.
Walaupun Trump tidak mewujudkan perdamaian antara Kosovo dan Serbia, pentadbirannya berjaya menjadi perantara dalam perjanjian normalisasi ekonomi antara kedua-dua pihak pada penggal pertamanya.
3. DRC dan Rwanda
Rwanda dan Republik Demokratik Congo (DRC) menandatangani perjanjian damai pada akhir Jun lalu, tetapi pertempuran sengit antara pejuang anti-kerajaan M23 yang disokong Rwanda dan tentera Congo tetap berlaku di timur negara itu.
Meskipun terdapat perjanjian tersebut, Trump mengambil kredit tentang perdamaian dua negara itu.
Kumpulan pejuang M23 dan tentera Congo saling tuduh menuduh dalam kenyataan hujung minggu bahawa pihak lawan telah menghancurkan usaha damai atau melanggar prinsip perjanjian itu.
4.Pakistan dan India
India dan Pakistan bertempur sengit selama empat hari pada Mei lalu yang mengorbankan lebih 70 orang di kedua-dua belah pihak sebelum Trump mengumumkan gencatan senjata antara kedua-dua negara jiran bersenjata nuklear itu.
Namun, Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata pada akhir Julai lalu bahawa tiada pemimpin dunia yang menekan negaranya untuk berhenti berperang dengan Pakistan, tanpa menyebut nama Trump secara khusus.
Kerajaan Pakistan sebaliknya berkata, mereka akan mencalonkan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel 2026 sebagai pengiktirafan atas campur tangan diplomatik yang tegas dan kepimpinan pentingnya semasa konflik itu.
5.Israel dan Iran
Israel melancarkan kempen udara yang belum pernah berlaku sebelum ini selama 12 hari pada Jun lalu dengan menyasarkan tapak nuklear, saintis dan pegawai tentera kanan Iran dalam usaha menghentikan program nuklear negara itu.
Tentera udara AS turut menyerang tiga tapak nuklear negara itu.
Trump mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Iran yang kemudian menuduh kedua-dua pihak melanggarnya.
Beliau berusaha mengekalkan gencatan itu, termasuk cuba menghalang jet Israel yang sudah berlepas, sementara Pejabat Perdana Menteri Israel berkata, negaranya tidak melakukan serangan lanjut selepas menerima panggilan daripada Trump.
6. Mesir dan Ethiopia
Ethiopia yang merasmikan sebuah empangan gergasi memberi kesan kepada peningkatan ketegangan dengan jirannya, Mesir, awal bulan ini.
Mesir, yang bergantung pada Sungai Nil untuk 97 peratus sumber airnya, mengecam projek itu dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi menyifatkannya sebagai ancaman kewujudan terhadap keselamatan air negara tersebut.
Pada penggal pertamanya, Trump secara terbuka menyatakan Mesir boleh mengebom empangan itu, menyebabkan Ethiopia menuduh Trump cuba mencetuskan perang.
Trump menuntut pengiktirafan kerana mengekalkan keamanan antara Mesir dan Ethiopia, tetapi beliau sebenarnya tidak menamatkan perang antara mereka.
7.Armenia dan Azerbaijan
Armenia dan Azerbaijan telah lama bertelagah berhubung sempadan dan status kawasan etnik dalam wilayah masing-masing serta pernah berperang dua kali mengenai kawasan dipertikaikan, Karabakh. Ia bagaimanapun direbut semula oleh Azerbaijan daripada Armenia pada 2023.
Armenia dan Azerbaijan memuji usaha AS untuk menyelesaikan konflik dan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev berkata, beliau akan menyokong pencalonan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel.
8.Konflik lain
Usaha Trump untuk menjadi perantara damai di Gaza tidak berjaya dan beliau juga gagal sama sekali menamatkan perang di Ukraine, konflik yang pernah beliau bermegah mampu diselesaikan dalam masa sehari selepas menjadi presiden. – AFP